Suatu ketika dahulu ada empat sahabat pergi belajar ilmu kesaktian dengan seorang petapa. Di akhir pengajian mereka di dalam gua yang tersembunyi dalam hutan itu, keempat-empat sahabat tersebut dianugerahkan satu kesaktian setiap seorang. Yang pertama, boleh menyambungkan anggota badan yang putus. Yang kedua, boleh menyembuhkan luka. Ketiga, boleh memasuk dan mengalirkan darah ke dalam urat saraf, dan yang keempat, boleh menghidupkan yang telah mati.
Keempat-empat sahabat itu gembira dengan kesaktian yang telah dianugerahkan oleh guru tersebut. Mereka mengucapkan terima kasih kepada si petapa tadi dan kemudian berjalan keluar dari hutan tersebut untuk pulang ke rumah masing-masing.
Dalam perjalanan, mereka ternampak bangkai seekor harimau. Wah! Inilah masanya untuk mencuba kesaktian yang baru dimiliki. Lantas si lelaki pertama menyambungkan semula anggota badan dan tulang-temulang harimau tersebut. Sahabat yang kedua mengambil giliran dengan menyembuhkan lukanya.
Sahabat ketiga menggerakkan semula darah di dalam badan harimau berkenaan manakala sahabat yang keempat, menghidupkannya semula. Sebaik membuka mata, harimau itu tanpa membuang masa terus menerkam dan membaham keempat-empat sahabat tadi!
Moral ceritanya: Cerdik biarlah bertempat!

Subscribe to Koleksi Cerita Menarik. by Email