" Abang ni, Pakai tu elok-eloklah sikit," kata Shaliza Shafie, 25, ketika membetulkan pakaian suaminya, Mohd. Samad Ibrahim, 30. Samad tersenyum memandang isterinya, "Cantik isteri abang hari ni," Samad mencubit pipi Liza, lembut.
"Ayah, ayah... cepatlah, yah,"Farah dan Adi meluru masuk ke bilik kerana tidak sabar-sabar hendak bertolak pulang ke kampung. "atok dengan opah mesti dah tunggu kita ni," sambung anak-anaknya itu.
"Yalah, yalah... ayah dah siap ni,"sahut Samad lantas tersenyum ke arah anak-anaknya yang comel dan manja itu. farah dan Adi anak kembar mereka, baru berusia empat tahun.
"Bang, dah lama kita tak balik kampung macam ni, ya?" kata Liza semasa mendakap suaminya itu.
"Iyalah, maklumlahh abang ni sibuk dengan urusan perniagaan, baru kali ni abang ada peluang untuk cuti panjang," balas Samad kepada isterinya yang tercinta.
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Geri, Perak, mengambil masa lebih kurang empat jam setengah. Farah dan Adi sudah pun terlelap di kerusi belakang. Begitu juga dengan isterinya, Liza.
"Tak sabar rasanya nak tiba kat kampung," Samad berkata dalam hati. Sedikit demi sedikit Samad menekan pedal minyak keretanya. Keretanya semakin laju dan Samad semakin seronok. Kereta Proton Persona berwarna merah yang baru dibelinya memecut laju di lebuh raya.
Jam di tangan menunjukkan pukul 5.30 petang, mereka kini berada di Lenggong. Samad mahu segera sampai ke kampungnya di Gerik supaya sempat berbuka puasa bersama ibu bapanya. Dia mesti memecut keretanya itu.
Samad membelok ke kiri dan kanan, memotong semua kenderaan di hadapan, sebuah demi sebuah. Keseronokan memecut kereta baru membuatkan Samad hampir terlupa kepada anak dan isterinya yang sedang tidur.
"Eh abang, kenapa bawa laju sangat ni?" tiba-tiba Liza terjaga daripada tidurnya.
"Tak ada-apalah sayang, relakslah...lagi laju, lagi cepat kita sampai kampung,"jawab Samad.
Liza memandang ke arah suaminya itu. "Sabar bang, sabar. Biar lambat tak apa... jangan laju sangat bang, Liza takut,"Liza cuba memujuk Samad supaya memperlahankan kenderaannya. Ternyata pujukannya itu tidak diendahkan oleh suaminya.
"Relakslah yang... tak ada apa-apa,"balas Samad lantas memotong sebuah bas ekspres di hadapannya.
"Haa...kan, tengok , tak ada apa-apa, kan?" kata Samad setelah memotong bas ekspres tadi.
"Sudahlah tu, bang,"Liza kellihatan semakin risau. "Tengok, meter tu... 180 km/j, laju sangat ni bang. Sudahlah... kalau jadi 'apa-apa' nanti, macam mana?"
"Haa...tu ada satu lagi bas ekspres," balas Samad, langsung tidak diendahkan kata-kata isterinya tadi. "Yang, tengok abang potong bas ni.." sambung Samad lalu menekan pedal minyak hingga jejak ke lantai keretanya. Samad terus membelok ke kanan untuk memotong dan.. tiba-tiba dihadapannya tersergam sebuah lori kontena yang besar dan...!!
BBAAAANNNGGG!!!
"Samad.. bangun Samad,"sayup-sayup terdengar suara ke telinganya. Samad membuka mata, dia melihat ibunya berdiri di sisi.
"Mana Liza, mak? Macam mana dengan Liza, mak? Farah, Adi... mana anak-anak saya mak? Manaa???" bertubi-tubi Samad menyoal ibunya. Samad tidak dapat menahan kesedihannya apabila melihat isteri dan anak-anaknya tiada di sisi. Detik-detik terakhir sebelum kemalangan tadi terbayang di mata Samad, dia menangis semahu-mahunya. Esok Hari Raya Aidilfitri, dia tidak mahu kehilangan insan-insan yang disayanginyai itu.
Ibunya memandang Samad tanpa sepatah kata.
"Macam mana dengan isteri saya, mak?" Samad masih terus menangis setelah pertanyaannya tadi tidak dijawah oleh ibunya.
"Macam mana Liza, mak?" tanya Samad lagi, lalu memegang bahu dan menggoncang tubuh ibunya itu, dan..!!!
PAAANNNGGG!!!
Kepala Samad yang separuh botak itu tiba-tiba diketuk oleh ibunya dengan senduk besi. Samad terdiam. Dia memandang ibunya dengan penuh tandatanya. Kenapa ibunya buat dia begitu?
"Banyaklah engkau punya bini! Kerja pun pemalas, ada hati nak berbini! Dahlah tak puasa, tidur dari tengah hari sampai senja! Dah, bangun pergi basuh muka. Orang dah nak buka ni!" emaknya terus merungut sambul berlalu ke dapur.
Samad tersengih. Alamak, belum kahwin lagi rupanya aku ni.

Subscribe to Koleksi Cerita Menarik. by Email